Pages

Thursday, July 2, 2009

Kesabaran dan Kesungguhan Membawa Kejayaan...

Masih teringat lagi kenangan ku semasa menjalani praktikum di salah sebuah sekolah di Perak. Aku masih teringat lagi segala kata-kata dan nasihat yang disampaikan oleh guru pembimbingku di sekolah itu. Dia sering berpesan bahawa, seorang guru itu haruslah ikhlas, bersungguh-sungguh, dan bersabar dalam mengajar serta mendidik anak-anak murid kita sehingga mereka berjaya.

Kata-katanya ini terbukti melalui apa yang telah dilakukannya. Beliau telah berjaya mengajar serta mendidik anak-anak murid yang kini berada di Tahun 5. Anak-anak ini merupakan murid-murid yang dikategorikan sebagai murid-murid dalam Kelas Pemulihan. Anak-anak ini pada asalnya tidak boleh membaca dan menulis. Alhamdulillah, berkat usaha beliau yang bersungguh-sungguh, sentiasa sabar serta ikhlas, beliau telah berjaya membuatkan anak-anak ini berjaya membaca serta menulis dengan izin Allah s.w.t.. Pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh beliau. Beliau sanggup menghabiskan wang serta masa dalam mendidik anak-anak ini. Aku dapat lihat bahawa tidak ada guru-guru lain di sekolah ini yang sanggup mengajar sebegini. Guru ini tidak lah garang tetapi beliau merupakan seorang guru yang tegas. Aku berharap agar diriku dapat menjadi seperti beliau. Insya-ALLAH.

Pada praktikum yang lalu aku dan juga rakanku diberikan kepercayaan untuk mengajar kelas tersebut.. Buat kali pertama mengajar kelas ini, memang susah juga untuk mengajar mereka. Tetapi lama-kelamaan aku dan juga rakan ku dapat menyesuaikan diri kami dengan murid-murid kelas ini. Mereka merupakan murid-murid yang pandai jika diasuh dengan sebaik-baiknya. Mereka juga merupakan murid-murid yang baik dan rajin membantu guru di sekolah. Mereka sering berkata padaku, "Cikgu, budak-budak kelas lain semuanya mengatakan yang kami bodoh dan tidak pandai". Aku membalas kembali kata-kata mereka, "Cikgu tahu, kamu semua pandai dan baik, kamu abaikan kata-kata mereka tu. Cikgu nak mulai sekarang, kamu belajar rajin-rajin ya". Kadangkala, aku berasa tersentuh hati dengan kata-kata mereka itu. Aku berasa kasihan dengan mereka. Aku sering memberikan kata-kata semangat kepada mereka agar terus berusaha untuk berjaya dalam hidup. Mereka merupakan anak-anak yang mendengar kata. Aku berharap suatu hari nanti mereka akan menjadi insan berjaya. Itulah doaku buat mereka.

Aku juga berharap agar diriku ini sentiasa sabar, ikhlas serta bersungguh-sungguh dalam mendidik anak-anak bangsaku. "Ya Allah, Kau berikanlah kekuatan buat diriku dalam mendidik anak-anak bangsaku menjadi insan yang berguna pada keluarga, masyarakat, agama dan negara". Tiada apa yang aku harapkan selain daripada kejayaan anak-anak didikku. Insya-ALLAH..

No comments:

Post a Comment